SEREMBAN: “Doktor menjangkakan hayat isteri hanya 20 tahun saja,
namun saya percaya, ajal di tangan Allah dan siapa kita untuk
menentukannya,” luah bekas perunding kewangan, Abil Fikri Ahmad, 43,
yang pasrah mengharapkan isterinya, Fauziah Muhamad, 38, pulih daripada
penyakit kegagalan saraf otak dialaminya sejak lebih setahun lalu.
Menurut Abil Fikri beliau tidak pernah sekalipun berputus harap
melihat keadaan isterinya yang baru dikahwini dua tahun lalu kini
terlantar seperti kayu, umpama jasad tidak bernyawa akibat kegagalan
saraf otak selepas diserang asma.
Katanya, dia reda dan
menganggap apa yang berlaku antara ujian Allah yang harus ditempuhi,
walaupun isterinya dianggap sudah tidak mampu untuk sembuh.
Mengimbas laporan Harian Metro terdahulu, Abil Fikri yang berkhidmat
di sebuah bank di ibu negara sanggup berhenti kerja demi menjaga
Fauziah yang kini terlantar akibat penyakit itu sejak Jun tahun lalu.
“Walaupun berat hati untuk mengetahui harapan isteri sama ada boleh
pulih atau tidak, saya terpaksa bertanyakan doktor untuk persediaan di
masa depan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Putih,
Rasah, di sini.
Katanya, lebih memilukan, keadaan isterinya
makin teruk dan doktor menjangkakan wanita itu tidak mampu pulih lagi
dan akan terlantar sehingga akhir hayatnya. “Kini, isteri terlantar
hampir setahun dua bulan dan doktor menjangkakan, sekiranya lebih
setahun dia berkeadaan begitu, harapan untuk pulih amat tipis. “Namun,
setiap hari saya akan terus berharap dan bersabar menunggu ‘kepulangan’
isteri tercinta,” katanya.
Untuk membuktikan cintanya pada si isteri, dia mencipta sebuah blog
bertajuk ‘Warkah Buat Isteri’ sebagai rentetan kehidupan dilaluinya
termasuk ketika menjaga wanita itu.
“Saya tidak sangka,
pembabitan saya dalam blog tiga bulan lalu mendapat sambutan
menggalakkan apabila kini hampir mencecah 300,000 pengikut.
“Alhamdulillah, kini dengan bantuan masyarakat di luar sana, saya kini
mendapat semangat luar biasa berikutan orang ramai tidak putus
memberikan dorongan,” katanya.
Abil berkata, sebenarnya dia tidak terfikir untuk membuat blog
berkenaan, bagaimanapun, sebaik memikirkan kemungkinan isterinya sembuh
dan ditakdirkan dia meninggal dunia, wanita itu dapat membaca setiap
luahan hatinya.
“Blog abil4fauziah.blogspot.com saya tujukan
khas buat isteri tersayang dan diharap setiap pembaca mendapat manfaat
berikutan di dalamnya saya turut menyelitkan beberapa motivasi dan
rangsangan untuk menjadi manusia tabah,” katanya. Baca lebih disini
Komen : Beruntunglah si isteri dapat suami yang mithali sama seperti tahun-tahun lepas
Teks Iklan