Saturday, November 26, 2011

Penjenayah Seks Bersiri Tumpas .

Pemburuan polis Kelantan terhadap seorang lelaki yang dilabelkan sebagai penjenayah seks paling dikehendaki berakhir apabila dia ditangkap oleh orang awam ketika cuba merogol mangsa dalam sebuah asrama di sini kelmarin.

Gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu yang bekerja sebagai jurujual sepatutnya menjadi mangsa ke-20 lelaki tersebut.

Namun kegiatan licik suspek yang juga penganggur berusia 29 tahun itu memerangkap diri sendiri apabila suaranya dalam rumah perempuan itu menarik perhatian jiran mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang wanita yang bertugas sebagai penjaga asrama tersebut pada pukul 11.10 pagi kelmarin. 

Penjaga asrama itu bersama dua lelaki yang juga pekerja di sebuah kedai datang menyiasat atas kepercayaan ada penghuni membawa masuk teman lelaki tetapi kemudian terkejut mendapati suspek cuba merogol mangsa yang diikat dengan wayar seterika.

“Dua pekerja itu kemudian menangkap lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada polis. 

“Saya nampak ada kesan luka pada pipi mangsa dan tangannya diikat dengan wayar seterika,” kata wanita berusia 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut. Share content and get paid

Tuesday, November 15, 2011

Kekasih Gaduh, Terjun Kondo.

Seorang remaja perempuan mati selepas terjun dari tingkat lima sebuah kondominium di Sungai Way, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 19 tahun itu dipercayai terjun daripada tingkat lima kondominium berkenaan pada jam 12 tengah malam selepas bertengkar dengan teman lelakinya di kawasan parkir bangunan itu.

Menurut sumber, mangsa yang juga penuntut sebuah kolej di Cheras nekad terjun selepas bergaduh dengan teman lelakinya di dalam kereta.

“Mangsa berasal dari utara tanah air dan menuntut di kolej berkenaan sejak awal tahun lalu.

“Dia dan teman lelakinya bergaduh di dalam kereta di tingkat lima bangunan berkenaan sebelum pelajar terbabit membuka pintu dan terjun,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Metro

Tuesday, November 8, 2011

Samun Mesin ATM, RM316,000 lesap

Tindakan tekad sekumpulan penjenayah melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berbaloi apabila mereka berjaya memecah mesin ATM itu dan melarikan kesemua wang berjumlah RM316,000 dari dalam mesin yang disamun di sebuah bank di Taman Midah di sini semalam. 
 
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi, kumpulan yang dipercayai terdiri daripada enam lelaki berusia 30-an bertindak nekad dengan menarik serta menyeret sebuah daripada lapan buah mesin ATM yang berada di bank itu.

Penjenayah tidak bertopeng itu menyasarkan mesin ATM yang terletak berhadapan dengan pintu cermin bagi memudahkan mereka menarik keluar mesin tersebut.

Semasa kejadian, bank tersebut tiada pengawal keselamatan.

Suspek-suspek yang mengambil masa kurang 10 minit untuk merompak itu dipercayai menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda bagi menarik keluar mesin itu.

Selepas lapan jam kejadian itu, mesin ATM tersebut ditemui di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Pinggiran Hulu Klang, Ampang Jaya dekat sini.

Jarak antara mesin ATM itu disamun dan ditemui semula kira-kira 15 kilometer.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, kecurian mesin ATM itu disedari oleh polis yang melakukan rondaan di Taman Midah sebelum ternampak pintu kaca di bank itu pecah.

“Pemeriksaan mendapati sebuah mesin ATM yang terletak di tengah-tengah daripada lapan mesin hilang,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan mengesyaki lima hingga enam suspek melarikan mesin tersebut dengan menarik dan mengheret berkemungkinan menggunakan lori atau kenderaan pacuan empat roda.
Mohan memberitahu, mesin itu ditemui semula pada pukul 11 pagi apabila polis menerima maklumat orang awam yang hairan melihat mesin itu di tepi jalan di MRR2.

Bagaimanapun, kata beliau, pemeriksaan terhadap mesin ATM tersebut mendapati kesemua wang berjumlah RM316,000 lesap.

“Polis sedang menyiasat bagaimana mesin itu mampu dipecah sehingga wang boleh diambil,” kata beliau dengan memberitahu semasa kejadian alat penggera di bank itu tidak berbunyi.
Tambah Mohan, kejadian melarikan mesin ATM di bank di situ merupakan yang pertama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian 03-9284 0083 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norliza Murad di talian 012-5413005 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada 22 Jun 2008, seorang lelaki berjaya melarikan mesin ATM di sebuah stesen minyak di Batu 6 1/2, Jalan Klang Lama-Puchong di sini.

Dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, suspek merempuh cermin hadapan stesen minyak sebelum 'menyodok' dan menarik keluar mesin ATM berkenaan menggunakan jengkaut.

Bagaimanapun, polis tidak dapat menentukan nilai wang yang ada dalam mesin ATM yang dilarikan malah mesin itu juga belum ditemui. Sumber Kosmo
Allcoins.pw