Thursday, January 15, 2015

2,067 Pusat Pelacuran DiSelangor Akan Di Gempur




SHAH ALAM 14 Jan. - Sebanyak 2,067 premis di seluruh negeri ini dikenal pasti sebagai sarang maksiat yang menawarkan khidmat seks pelacur warga asing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, premis berkenaan melibatkan spa, rumah urut, hotel, karaoke, bar serta salon yang kini dalam pemantauan pihaknya dan akan diperiksa secara berterusan bagi tujuan pembanterasan.
Menurutnya, bagi tujuan itu, Op Noda Khas telah digerakkan sejak 18 November tahun lalu dengan melibatkan 2,969 serbuan di seluruh negeri.

“Hasil serbuan, polis berjaya menangkap 1,781 individu membabitkan 1,363 wanita dan 124 lelaki warganegara asing serta 28 wanita dan 266 lelaki tempatan.
 
“Wanita warga asing itu terdiri daripada 717 Vietnam , 299 Thailand, 162 China dan beberapa negara lain termasuk Indonesia, Laos, Bangladesh dan Kemboja,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
 
Abdul Samah berkata, polis juga berkerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi melaksanakan kerja-kerja pemotongan utiliti di premis yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti maksiat.
 
“Berdasarkan tangkapan dan serbuan itu, kita dapati trend menunjukkan wanita Vietnam kini merupakan antara golongan paling banyak terlibat dalam aktiviti pelacuran.
“Daripada maklumat yang diperoleh, wanita Vietnam didapati menawarkan harga yang lebih rendah,” katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Abdul Samah menjelaskan, indeks jenayah di Selangor mencatat penurunan sebanyak 15.68 peratus pada tahun lalu.
 
“Semua kategori jenayah menurun pada tahun lalu dengan 36,308 kes berbanding 43,059 kes pada 2013,” katanya. Terdahulu, beliau menyerahkan dua balai polis bergerak dan 17 kenderaan yang diterima daripada kerajaan kepada IPK Selangor.
Allcoins.pw