Sunday, February 14, 2016

114 Kematian Akibat Gempa Bumi Di Taiwan



TAIPEI – Pasukan menyelamat menemui mayat lebih 100 mangsa yang terbunuh selepas sebuah blok pangsapuri di Taiwan tumbang ketika kejadian gempa bumi minggu lalu, jelas pasukan khidmat kecemasan semalam.

Hanya tiga orang penghuni kompleks kediaman Wei-Kuan yang tumbang di bandar Tainan itu masih belum ditemui ketika pasukan kecemasan semakin hampir kepada penghujung usaha mencari selepas berjaya menyelamatkan beratus-ratus orang dalam runtuhan tersebut.
Jumlah kematian kini adalah sebanyak 114 orang, manakala 550 yang lain cedera, mengikut perangkaan terkini Agensi Bomba Kebangsaan.




Lebih daripada 280 orang telah ditarik keluar dari dalam runtuhan bangunan 17 tingkat itu sejak gempa dengan magnitud 6.4 tersebut melanda.

Wei-Kuan merupakan satu-satunya bangunan tinggi di Taiwan yang tumbang sepenuhnya, menimbulkan persoalan tentang pembinaan pangsapuri itu yang siap dibina pada 1994.
Pendakwa raya Tainan telah menahan pemaju bangunan tersebut, Lin Ming-Hui dan dua rakannya atas tuduhan kecuaian profesional sehingga menyebabkan kematian berikutan bencana itu.

Pasukan penyiasat menemui kecacatan dalam binaan bangunan tersebut termasuk tiadanya galang kerangka besi penyokong, jelas satu kenyataan akhbar.

Gambar runtuhan tersebut turut menunjukkan tin-tin besi dan span digunakan untuk memenuhi ruang dalam konkrit di samping bukti mengenai beberapa din­ding penyokong mungkin telah dirobohkan sehingga menjejaskan struktur bangunan itu.


Sumber : Kosmo
Allcoins.pw