Monday, January 11, 2016

Sebulan serumah dengan mayat

Girona (Sepanyol): Pasangan suami isteri yang tinggal dengan mayat anak mereka berusia tujuh tahun selama lebih sebulan semalam didakwa atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian.

Bruce Hopkins, 39, berkata, dia cuba memberikan rawatan alternatif kepada anaknya Caleb kerana dia dan isterinya tidak percaya kepada perubatan standard.

Pendakwa raya Enrique Barata memberitahu mahkamah: “Si bapa memberitahu, dia cuba menyelamatkan anaknya termasuk mengepam jantung anaknya dan memberikan pernafasan mulut ke mulut selepas anaknya tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, mangsa tidak memberi sebarang tindak balas.” 

Menurutnya, hasil ujian yang dilakukan terhadap Hopkins dan isteri, Schrell, 38, menunjukkan mereka tidak menghidap masalah mental.

Selepas kejadian itu, pasangan itu terus membiarkan Caleb yang sudah tidak bernyawa tinggal bersama mereka dan dua anak yang lain berusia 12 dan 14 tahun di apartmen sewaan mereka di Girona, timur laut Sepanyol, berhampiran tempat dia bekerja sebagai jurutera.

Dua anak mereka itu kini di bawah jagaan pihak berkuasa tempatan sementara Hopkins dan Schrell yang berasal dari Detroit, Amerika Syarikat, dibebaskan daripada tahanan tetapi pasport mereka dirampas.

Barata berkata, waktu tepat dan punca kematian Caleb yang menghidap penyakit lelah tidak diketahui. Bagaimapun polis percaya Caleb mati kira-kira sebulan sebelum mayatnya ditemui.

Pihak berkuasa menemui mayat Caleb apabila melawat rumah pangsa mereka setelah tuan rumah mengadu gagal mengutip wang sewa selama empat bulan.

Polis memeriksa apartmen itu kerana bau teramat busuk dan menemui mayat berkenaan yang dibungkus dengan beberapa selimut. 

“Mereka menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun dengan kehadiran mayat itu. Keluarga berkenaan tidak dapat menerima hakikat Caleb sudah mati,” kata Barata.
 
Sumber : Metro
Allcoins.pw