Monday, May 26, 2014

Coklat Cadbury ada lemak babi - Jakim akan umum


Keputusan rasmi berhubung status halal berikutan penemuan DNA babi dalam dua sampel coklat Cadbury akan diumum sebaik keputusan analisis Jabatan Kimia diperolehi dalam tempoh tujuh hari. 

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jakim bersama-sama Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia.

"Makmal Jabatan Kimia merupakan makmal rasmi digunakan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pensijilan halal sebagaimana yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, makmal itu juga telah diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk bagi pengujian produk makanan terproses.

Dua sampel coklat keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd yang didapati mempunyai DNA khinzir ialah Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813 M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013 N01RI1). - UTUSAN

Berita sebelumnya..

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu pengesanan DNA babi (porcine) dalam produk coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas melalui aplikasi media sosial pada 23 Mei 2014.
Di dalam media sosial tersebut memaparkan keputusan analisis porcine dikesan di dalam produk coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk.
Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara berkaitan dengannya.
Hasil siasatan oleh KKM mendapati 3 sampel coklat Cadbury diambil untuk analisis porcine bagi tujuan pemantauan.
Keputusan analisis mendapati 2 sampel dikesan mengandungi porcine iaitu:
i) Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no 200813M01H I2) yang bertarikh luput 13 November 2014.
ii) Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.
Manakala, satu lagi sampel Coklat Susu - Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan porcine.
Pihak pengeluar iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.
KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. – Bernama, 24 Mei, 2014.






No comments:

Post a Comment

Allcoins.pw