![]() |
Inilah arowana emas yang bernilai RM300,000. Baca asal-usulnya |
JIKA durian terkenal dengan jolokan raja buah, arowana emas (klik disini untuk kenali jenis-jenis arowana) Malaysia pula mengungguli carta teratas bagi kategori ikan hiasan.
"Siapa sangka ikan kelisa (panggilan penduduk tempatan bagi arowana
emas) yang enak dimasak gulai dan kadangkala dijadikan pekasam oleh
penduduk kampung dahulu rupa-rupanya begitu berharga.
"Pada awal 1970-an, ikan ini mudah didapati dan biasa terperangkap di
dalam lopak air di bendang padi dan tali air setiap kali selepas musim
banjir," ujar Ahmad Don, 58, mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya
kepada Jurnal baru-baru ini.
Namun begitu, Ahmad yang ketika itu berusia belasan tahun merupakan
antara segelintir individu yang menghidu potensi arowana emas sebagai
ikan hiasan.
Dengan membeli anak ikan itu hidup-hidup daripada penduduk tempatan
yang mengailnya dari Tasik Bukit Merah, beliau menjualnya semula kepada
peniaga ikan hiasan di Pulau Pinang pada harga RM15 seekor.
Rezeki menjual ikan kelisa secara kecil-kecilan itulah sebahagian
usaha Ahmad yang menjadi anak yatim seawal usia dua tahun untuk membantu
ibunya menyara keluarga.
"Dari situ minat saya terhadap arowana khususnya spesies emas
Malaysia mula bercambah. Kenangan zaman remaja itu telah menjadi
inspirasi kepada saya untuk menceburkan diri dalam industri penternakan
ikan arowana secara serius pada tahun 2001.
"Sebelum menubuhkan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. (BMA) yang
menjadi perintis kepada industri ikan arowana di Bukit Merah ini, saya
juga pernah membuka kedai ikan hiasan di Taiping," jelasnya.
Bermula dengan 25 buah kolam yang dibina di atas tanah pusaka arwah
bapanya seluas 0.8 hektar, kini Pengarah Urusan BMA itu boleh berbangga
kerana memiliki 1,000 buah kolam ternakan ikan arowana.
Walaupun menternak pelbagai spesies arowana seperti mas merah,
highback, merah banjar, super red, merah cili, emas highback, perak dan
hijau, bagi Ahmad, emas Malaysia ialah spesies yang paling berharga. "Jika spesies lain, seekor anak ikan sebesar 12.7 sentimeter (sm)
boleh dijual pada harga RM20 hingga RM1,500, anak ikan arowana emas
Malaysia pula berharga RM2,500 seekor.
"Ikan hiasan itu bukan sahaja telah memberi pulangan jutaan ringgit
malah yang lebih berharga daripada itu, ia memberi nilai sentimental
yang mengingatkan saya kepada zaman silam," cerita Ahmad.
Induk daripada spesies arowana emas berkenaan mampu dijual sehingga
RM24,000 seekor. Malah menurut Ahmad, beliau pernah menjual seekor
arowana emas Malaysia yang bersifat albino pada harga RM300,000 pada
tahun 2006.
Oleh sebab itu, bibir Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara itu
tidak henti-henti mengukir senyuman apabila Bengkel Standard Kualiti
Arowana Emas Malaysia yang diadakan di Bukit Merah baru-baru ini
memutuskan untuk menjadikan arowana emas Malaysia sebagai warisan
negara.
Bagi bapa kepada 12 cahaya mata itu, penat-jerihnya memartabatkan
ikan arowana emas Malaysia di mata dunia selama ini seolah-olah telah
berbayar berikutan inisiatif Jabatan Perikanan tersebut.
"Pengiktirafan itu meletakkan ikan hiasan ini di tempat sewajarnya
memandangkan ia merupakan merupakan khazanah paling berharga Tasik Bukit
Merah," katanya.
Secara tidak langsung, pengwartaan arowana emas Malaysia sebagai
warisan negara bakal menyerlahkan lagi nama Bukit Merah di mata dunia.
Dari sudut perniagaan pula, pengusaha ikan arowana di Zon Akuakultur
Bukit Merah yang seluas 100 hektar sekarang bakal menerima manfaat besar
serta potensi mengembangkan perniagaan mereka.
Selain menjamin nilai arowana emas Malaysia di pasaran antarabangsa,
ia juga mampu mengukuhkan lagi penguasaan negara dalam industri
berkenaan.
Setakat ini, Malaysia menguasai hampir 70 peratus pasaran arowana
dunia biarpun mendapat saingan sengit daripada Indonesia dan Singapura.
Malah, ciri-ciri unik ikan itu akan semakin mudah dikenal pasti
peminat ikan hiasan menerusi pengenalan Standard Spesifikasi Ikan
Arowana Emas Malaysia atau DOF STAN 1:2012 kelak.
"Sebelum ini, ada beberapa kes peminat ikan hiasan khususnya yang
baru berjinak-jinak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang
menipu menjual pada harga tinggi ikan arowana hijau yang diakui kononnya
emas Malaysia.
Beliau yang juga salah seorang panel Jawatankuasa DOF STAN 1:2012
memberitahu, ikan arowana emas Malaysia boleh dikenal pasti daripada
sisiknya yang berwarna keemasan dan semakin terserlah pada peringkat
pramatang dan dewasa.
Selain itu, ikan yang turut dikenali sebagai dragon fish dan dragon
bonytongues itu mempunyai sesungut dan lidah yang keras seperti tulang.
Ia juga mampu membuka mulutnya dengan luas dan mempamerkan struktur
giginya yang halus tetapi kuat.
Boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada 336,000 ekor ikan arowana
pelbagai spesies bernilai RM151 juta yang dikeluarkan setiap tahun oleh
Zon Akuakultur Bukit Merah dibeli oleh pelanggan dari China.
Senario itu tidak menghairankan kerana ia berkait rapat dengan
sentimen kaum tersebut yang percaya arowana adalah lambang kekayaan dan
mempunyai feng shui yang baik untuk membantu kejayaan pemiliknya.
"Orang Cina percaya ikan yang menyerupai naga ini lambang kepada
kesihatan yang baik, mampu menjamin keharmonian keluarga dan memberi
perlindungan daripada sihir," ujar Ahmad.
Bercerita tentang penjagaan arowana, Ahmad berkata, ikan hiasan itu
sesuai membiak di negara yang beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia,
Indonesia dan Singapura. Untuk kisah lebih lanjut sila klik disini.
Topik berkaitan
1. Taukeh Arowana hadapi 21 kes penipuan
2. Asal-Usul Arowana Emas
3. Tips penjagaan Ikan Arowana
Topik berkaitan
1. Taukeh Arowana hadapi 21 kes penipuan
2. Asal-Usul Arowana Emas
3. Tips penjagaan Ikan Arowana
Iklan Ringkas
Senang cari duit disini
Mencari `Referral' Senang jer. Jom tengok caranya
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
No comments:
Post a Comment