SHAH ALAM 14 Jan. - Sebanyak 2,067 premis di seluruh negeri ini
dikenal pasti sebagai sarang maksiat yang menawarkan khidmat seks pelacur warga
asing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, premis
berkenaan melibatkan spa, rumah urut, hotel, karaoke, bar serta salon yang kini
dalam pemantauan pihaknya dan akan diperiksa secara berterusan bagi tujuan
pembanterasan.
Menurutnya, bagi tujuan itu, Op Noda Khas telah
digerakkan sejak 18 November tahun lalu dengan melibatkan 2,969 serbuan di
seluruh negeri.
“Hasil serbuan, polis berjaya menangkap 1,781 individu membabitkan 1,363 wanita
dan 124 lelaki warganegara asing serta 28 wanita dan 266 lelaki tempatan.
“Wanita warga asing itu terdiri daripada 717 Vietnam , 299 Thailand, 162 China
dan beberapa negara lain termasuk Indonesia, Laos, Bangladesh dan Kemboja,”
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Abdul Samah berkata, polis juga berkerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad
(TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi melaksanakan kerja-kerja
pemotongan utiliti di premis yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti
maksiat.
“Berdasarkan tangkapan dan serbuan itu, kita dapati trend menunjukkan wanita
Vietnam kini merupakan antara golongan paling banyak terlibat dalam aktiviti
pelacuran.
“Daripada maklumat yang diperoleh, wanita Vietnam didapati menawarkan harga
yang lebih rendah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Samah menjelaskan, indeks jenayah di Selangor
mencatat penurunan sebanyak 15.68 peratus pada tahun lalu.
“Semua kategori jenayah menurun pada tahun lalu dengan 36,308 kes berbanding
43,059 kes pada 2013,” katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan dua balai polis bergerak dan 17 kenderaan yang
diterima daripada kerajaan kepada IPK Selangor.
No comments:
Post a Comment